PROGRAM PENDIDIKAN GURU AGAMA SEKOLAH RENDAH: PERSEPSI GURU TERLATIH DAN PENSYARAH MAKTAB PERGURUAN

(Penyelia : Prof. Madya Dr. Zalizan Mohd. Jelas)

HAMIAH KAMARUDIN (1997)

ABSTRAK

  

Kajian ini dijalankan dengan tujuan untuk menilai sejauh mana persepsi guru-guru terlatih lepasan maktab dan pensyarah-pensyarah maktab terhadap kurikulum pendidikan Islam maktab perguruan, perkhidmatan sokongan, bentuk pengajaran dan hasil program secara keseluruhan. Data bagi kajian ini diperolehi melalui dua set soal selidik yang diedarkan kepada guru terlatih berkhidmat di sekolah rendah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan pensyarah yang mengajar pendidikan Islam di maktab perguruan. Seramai 160 orang guru terlatih yang mempunyai pengalaman mengajar antara satu hingga tiga tahun dan 54 orang pensyarah pendidikan Islam terlibat dalam kajian ini. Data yang dikumpul dianalisis dengan menggunakan statistik kekerapan, peratus, min dan varian satu hala (ANOVA). Kajian ini mendapati bahawa guru terlatih lepasan maktab mempunyai persepsi yang positif tentang kepentingan bidang-bidang kurikulum, kecukupan liputan kurikulum dan bersetuju bahawa program pendidikan guru pendidikan Islam sekolah rendah telah berjaya menghasilkan guru yang berkemahiran, berkebolehan dan berkeyakinan dalam melaksanakan pengajarn pendidikan Islam KBSR. Sebaliknya, mereka tidak pasti tentang peruntukan masa setiap bidang kurikulum dan perkhidmatan sokongan yang terdapat dalam program. Kajian ini juga menunjukkan bahawa pensyarah mempunyai persepsi yang kurang positif tentang kemahiran dan keupayaan guru terlatih mengajar pendidikan Islam KBSR. Sebahagian besar responden guru terlatih dan pensyarah, berpendapat bahawa kurikulum program pendidikan Islam KBSR di maktab perguruan harus disemak semula.