PENGGUNAAN PENYOALAN DI DALAM BILIK DARJAH OLEH GURU-GURU PELATIH MAKTAB PERGURUAN ISLAM

(Penyelia : Prof. Madya Dr. Abd. Rashid Johar)

 MAIMUNAH MD. AJI (1997)

 ABSTRAK

  

Tujuan utama kajian ini ialah untuk meninjau beberapa aspek kemahiran penyoalan oleh guru-guru pelatih Maktab Perguruan Islam, Bangi, khususnya dalam penajaran Pendidikan Agama Islam. Aspek-aspek yang dikaji itu ialah kekerapan soalan yang digunakan dalam satu masa pengajaran, aras kognitif soalan, komponen-komponen kemahiran menyoal dan penggunaan pola-pola ayat tanya dalam penyoalan. Sampel kajian terdiri daripada 12 orang guru pelatih yang menjalani Praktikum II di sekolah-sekolah di daerah Sepang dan Kajang. Mereka itu terdiri daripada 2 kumpulan iaitu 6 orang Kursus Pendidikan Sekolah Rendah dan 6 orang kursus Pendidikan Sekolah Menengah. Hasil kajian menunjukkan bahawa sampel didapati sangat kerap menggunakan soalan dalam penyampaian pengajaran iaitu dengan nisbah 1 minit: 1 soalan, dan kekerapan itu paling tinggi dalam mata-mata pelajaran akhlak, ibadat dan tilawah di mana guru pelatih menggunakan kaedah bersoal-jawab terbuka. Manakala dalam pengajaran ibadat (amali) sangat sedikit guru pelatih menggunakan penyoalan, sebaliknya menggunakan arahan. Hasil kajian juga menunjukkan bahawa soalan guru-guru pelatih adalah tertumpu kepada soalan Tahap I iaitu Aras Rendah Berpusat (yang menggunakan aras ingatan dan pengetahuan) jenis soalan tertutup, diikuti dengan soalan Tahap II iaitu Aras Tinggi Berpusat iaitu aras pemahaman. Beberapa aspek penyoalan telah didapati sebagai masalah iaitu kurangnya penglibatan murid dalam aktiviti penyoalan kerana murid-murid hanya menjawab apabila ditanya dan jawapan-jawapan yang diberi juga amat pendek dan ringkas. Di samping itu murid juga didapati tidak menyoak kerana guru tidak memberikan ruang untuk menyoal. Didapati guru juga kurang mahir dalam usaha mencungkil maklumat lanjut (probing) untuk mendapatkan jawapan yang jelas daripada murid. Masalah ini timbul kerana pola interaksi penyoalan guru ialah Guru-Murid-Guru (G-M-G). Satu lagi aspek yang dilihat sebagai masalah ialah penguasaan bahasa guru khususnya struktur ayat tanya di mana didapati sampel hanya menumpukan kepada penggunaan beberapa pola tertentu sahaja iaitu ayat yang menggunakan kata tanya `apa' dan `siapa'. Manakala kata tanya `bagaimana' dan `mengapa' yang memerlukan jawapan yang lebih panjang jarang digunakan. Penggunaan pola-pola ayat tanya yang lain jarang digunakan. Ini merupakan satu daripada punca kelemahan penyoalan mereka. Kedua-dua kumpulan sampel tidak menunjukkan banyak perbezaan dari semua aspek yang dikaji.