PERBEZAAN JENIS DAN POLA PERSONALITI MENGIKUT TAHAP
KETRAMPILAN DAN KEPUASAN KERJA DALAM MENJALANKAN
TUGAS BERKAITAN DI KALANGAN GURU-GURU PELATIH
PENGAJIAN AGAMA : SATU KAJIAN KES
(Penyelia : Prof. Madya Dr. Amla Hj. Mohd. Salleh)
ROSNANAINI SULAIMAN (1997)
ABSTRAK
Tujuan utama kajian ini ialah untuk mengenalpasti perbezaan jenis dan pola personaliti Guru Pelatih Pengajian agama secara keseluruhannya, mengikut tahap ketrampilan dalam latihan mengajar dan melihat perbezaan skor jenis personaliti dan pola personaliti antara guru pelatih yang berpengalaman dan tidak berpengalaman mengajar. Seterusnya kajian ini ingin melihat hubungan antara jenis personaliti dan kepuasan kerja di kalangan guru pelatih secara keseluruhan, yang berprestasi cemerlang, kepujian dan lulus dalam latihan mengajar. Alat yang digunakan ialah Self-Directed Search-E (SDS-E) yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu oleh Alma (1984) dan Index of Job Satisfaction yang diterjemahkan oleh Norkiah (1981) dan telah diubahsuai oleh pengkaji. Jumlah sampel yang digunakan seramai 180 orang yang terdiri daripada 107 orang yang mempunyai pengalaman mengajar dan 73 orang lagi tidak mempunyai pengalaman. Mereka adalah guru pelatih yang sedang mengikuti latihan mengajar di tiga buah maktab perguruan di Malaysia iaitu MPI, MPRM dan MPPM. Semua data dianalisis dengan menggunakan ujian-ujian parametrik seperti Ujian-t, pekali Korelasi Pearson `Product-Moment' dan juga kiraan min. Hasil kajian dapat dirumuskan seperti berikut: (a) Jenis personaliti yang paling dominan ialah Sosial (S) dan struktur personaliti guru pelatih secara keseluruhan, yang berprestasi cemerlang dan kepujian dalam latihan mengajar ialah SAKEIR dan pola personaliti mereka pula SAK. Manakala struktur personaliti guru pelatih yang berprestasi lulus dalam latihan mengajar ialah SAKIER dan polanya SAK. (b) Perbezaan skor jenis personaliti antara guru pelatih yang berpengalaman dan tidak berpengalaman mengajar didapati hanya jenis personaliti Realistik (R) dan Investigatif (I) signifikan pada aras .05. (c) Pola personaliti guru pelatih yang mempunyai pengalaman mengajar ialah SAK dan tidk mempunyai pengalaman mengajar ialah SKA. (d) Keputusan mengenai hubungan antara jenis personaliti dan kepuasan kerja adalah bercampur-campur. Jenis personaliti yang menunjukkan korelasi pada aras .05 ialah:- (i) Jenis personaliti Investigatif (I), Artistik (A) dan Sosial (S) bagi guru pelatih keseluruhannya (ii) Jenis personaliti Investigatif (I) dan Artistik (A) bagi guru pelatih berprestasi cemerlang dalam latihan mengajar. (iii) Jenis personaliti Sosial (S) bagi guru pelatih berprestasi kepujian dalam latihan mengajar (iv) Jenis personaliti Investigatif (I) dan Sosial (S) bagi guru pelatih yang berprestasi lulus dalam latihan mengajar. Sungguhpun dapatan kajian ini tidak begitu konklusif tetapi telah menunjukkan bahawa guru pelatih berpersonaliti SAI dan berpengalaman mengajar, memperolehi kepuasan yang tinggi berbanding mereka yang lain.