PENILAIAN PROGRAM TILAWAH AL-QURAN
SEKOLAH MENENGAH RENDAH
(Penyelia : Prof. Madya Dr. Abd. Razak Habib)
AMINAH IDRIS (1997)
ABSTRAK
Kajian ini dijalankan untuk menilai sama ada pelaksanaan Program Tilawah Al-Quran di sekolah menengah rendah mencapai matlamatnya. Kajian ini juga bertujuan mengenal pasti masalah-masalah pelaksanaan program Tilawah Al-Quran dan kemudahan-kemudahan bahan yang ada di sekolah, menentukan minat dan sikap pelajar terhadap program Tilawah Al-Quran, penguasaan awal Jawi dan Al-Quran pelajar sebelum memasuki sekolah menengah, kefahaman, kemahiran, strategi dan cara penilaian guru dalam program Tilawah Al-Quran, keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran dan bahan yang diguna untuk program Tilawah Al-Quran. Sampel kajian ini terdiri daripada 16 orang guru agama dan 160 pelajar yang dipilih secara rawak daripada empat buah sekolah di daerah Hulu Langat, Selangor Darul Ehsan. Maklumat kajian diperolehi melalui soal selidik yang disediakan untuk guru dan pelajar. Data yang dikumpulkan dianalisis dengan menggunakan statistik kekerapan, peratusan dan min. Beberapa masalah pelaksanaan dapat dikesan dalam kajian ini; antaranya ialah: (a) kebanyakan pelajar mempunyai minat dan sikap yang sederhana terhadap program Tilawah Al-Quran, (b) penguasaan Jawi dan Al-Quran pelajar berada di tahap sederhana sebelum mereka memasuki sekolah menengah, (c) guru dan pelajar bersetuju bahan pengajaran Tilawah Al-Quran masih belum mencukupi di sekolah dan (d) program Tilawah Al-Quran masih belum berjaya mengubah sikap pelajar menghayati nilai-nilai Islam sepenuhnya.